Tuesday 19 March 2013

Tips Tidur Bersama Bayi Anda


Tahukah anda bahawa tidur bersama si manja memberi banyak kebaikan kepada ibu bapa dan bayi sendiri. Namun sebelum membuat keputusan untuk tidur bersama, pastikan panduan berikut dipatuhi agar dapat menikmati kebaikannya.

Waktu tidur adalah masa yang penting untuk bayi kerana mereka membesar dan berkembang cepat ketika ini. Pastikan mereka mendapat tidur yang lena dan selesa di samping papa dan mama.

1. Pastikan ini satu persetujuan bersama

Sebelum mengambil keputusan ini bincang dengan pasangan. Pastikan anda berdua bersetuju mempraktikkan cara ini. Jika salah seorang ragu, beri masa untuk mempertimbangkan semula. Ini kerana tidur bersama hanya selesa jika dipersetujui oleh papa dan mama.

2. Dapatkan katil yang besar

Saiz katil memainkan peranan penting menjayakan perkara ini. Tidur bersama bukan perkara yang selesa atau menyeronokkan jika katil terlalu kecil. Katil bersaiz besar adalah yang terbaik tetapi jika bajet anda (atau bilik tidur anda!) tidak begitu besar, belilah kot tepi katil (yang anda boleh dilekapkan di tepi katil anda) atau letakkan kot biasa di tepi katil anda dengan susurnya diturunkan.

Walaupun ini tidak penting, sebenarnya ia memudahkan anda menyentuh atau mengusap bayi jika boleh menyesuaikan tinggi tilam bayi bersamaan dengan tilam anda. Cara ini amat sesuai jika bayi berpusing-pusing/bergerak. Dia masih boleh dicapai dengan mudah.

3. Keselamatan tilam

Pastikan tilam adalah selesa dan selamat. Bayi boleh lemas atau terlebih panas jika dia tidur atas tilam lembut atau dikelilingi oleh bantal serta alas dan selimut yang longgar. Jika katil anda berangka atau mempunyai kepala atau diletakkan di tepi dinding, pastikan tiada ruang antara tilam dengan rangka, atau tilam dengan kepala katil atau dinding, supaya tiada risiko bayi anda jatuh.

4. Guna cadar dan selimut yang minima

Penggunaan cadar dan selimut yang minimum perlu dilakukan apabila anda tidur bersama dengan bayi yang berusia kurang dari 12 bulan. Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko bayi lemas atau terlalu panas. (Ini mungkin berlaku semasa tiga bulan pertamanya; dari tiga hingga 10 bulan, risiko terbesarnya ialah jatuh ke dalam ruang antara tilam dan rangka katil, kepala katil atau dinding.) Ada juga kemungkinan dia akan dihimpit oleh bantal tambahan atau anak patung lembut. Jadi jauhkan semua ini dari katil anda!

5. Jangan lakukan di atas sofa atau katil air

Sofa tidak selamat untuk dijadikan tempat bagi tidur bersama bayi. Si manja anda boleh terhimpit dalam ruang antara kusyen atau antara anda dan belakang sofa. Katil air terlalu lembut dan mungkin mempunyai ruang-ruang yang dalam di sekeliling rangka dan bayi anda mungkin terperangkap. Tambahan pula, pergerakan badan anda juga boleh menyebabkan bayi anda melayang dari katil.

6. Pastikan bayi selesa

Membalut bayi kecil dengan bedung atau pakaian yang selesa amat penting bagi mengelakkannya berasa panas. Pilih fabrik yang nipis semasa tidur kerana sentuhan dengan kulit orang lain akan meningkatkan suhu kulitnya. Satu petua yang baik ialah: jika anda selesa, bayi juga akan berasa selesa.

7. Tiada bantal di sisi bayi

Jangan sekali-kali membiarkan bayi tidur di atas bantal sebab ia berisiko untuk jatuh atau lemas di dalam lipatan. Periksa bayi dengan kerap untuk memastikan dia tidak menggelungsur ke bawah sehingga kepalanya tertutup oleh selimut atau duvet. Ini boleh menyebabkan bayi menjadi terlalu panas atau sukar bernafas.

8. Jangan biarkan bayi dan kanak-kanak kecil tidur bersebelahan

Anda boleh berkongsi katil dengan bayi dan kanak-kanak kecil selagi mereka tidak tidur bersebelahan. Kanak-kanak kecil tidak faham bahawa bayi tidak boleh melindungi diri daripada lemas dan mereka boleh berguling ke atas bayi atau meletakkan lengan di mulut atau kepala bayi secara tidak sengaja. Kanak-kanak kecil juga kerap tidur berpusing dan boleh memukul atau menendang bayi secara tidak sengaja. Jangan biarkan bayi dan kanak-kanak kecil tidur bersama sendirian di atas katil yang sama. Anda dan suami perlu tidur di antara mereka.

9. Jangan tinggalkan bayi tidur sendirian di atas katil

Walaupun bayi kelihatan selamat jika tidur di tengah-tengah anda dan suami, namun dia akan mudah jatuh jika anda bangun untuk ke tandas atau bangun lebih awal di waktu pagi. Ramai ibu bapa meletakkan bantal di kedua-dua sisi bayi apabila dia tidur sendirian, tetapi ini bukanlah idea yang baik kerana bayi boleh berguling ke dalam bantal dan menjadi terlalu panas dan/atau sukar bernafas. Secara idealnya, beli susur katil yang melekap pada katil atau letakkan dia di tempat yang selamat seperti raga bayi atau kot semasa anda di luar bilik.

10. Tidak sesuai untuk pesakit apnea dan perokok

Penyakit tidur seperti apnea tidur boleh membuatkan tidur sangat lena sehingga boleh membahayakan bayi jika tidak sedar apabila anda menghimpit bayi. Ibu bapa yang merokok juga tidak boleh tidur bersama. Tiada siapa tahu mengapa, tetapi apabila perokok tidur bersama bayi mereka, risiko kematian kot adalah lebih tinggi.

Adakah tidur bersama sesuai untuk semua kanak-kanak dan orang dewasa? Mungkin tidak. Tiada model yang bersesuaian dengan semua orang dalam gaya tidur untuk anda dan anak. Sesetengah ibu bapa suka tidur dengan anak-anak mereka dan sesetengahnya tidak. Sesetengah kanak-kanak memerlukan belaian yang lebih pada waktu malam dan sesetengahnya tidak. Bukan semua kanak-kanak mahu tidur sepanjang malam, setiap hari dengan ibu bapanya. Anda perlu mencuba beberapa cara tetapi lambat laun anda akan dapat satu kaedah yang sesuai dengan anda, suami dan bayi anda.


Credit: Pa&Ma


Sekiranya anda berminat dengan vitamin shaklee yang bermutu tinggi ini bolehla hubungi saya, pengedar sah shaklee anda melalui:-

FB:Haryati Mat Yasim 
Fanpage:Haryati to U shoppe 
Email:haryati.yasim@gmail.com 
sms / whatsapp :0132221663 
ID No :909121

No comments:

Post a Comment